Mampukan Kita Menjadi Seikhlas Kelapa Tua?

Posted by Fiq | Posted in , , , | Posted on Friday, June 04, 2010

Semua orang kenal dan tahu gunanya kelapa tua. Sangat penting dan sangat berguna.


Realitinya, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan. Kelapa tua tak pernah menjadi topik perbincangan dan tak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalau kelapa tua ada emosi, tidak ramai yang dapat merasai dan menyelami perasaannya.

Kelapa tua itu sendiri pula tak pernah susah hati kalau orang tidak pedulikannya. Dirinya terbuai-buai di atas pokok, bila ditiup angin terasa nyaman sekali. Elok-elok kelapa tergantung di pokoknya sambil menikmati keindahan buana, datang orang menjoloknya dengan galah panjang. Bukan selesa kena jolok macam tu. Kalau tak percaya meh aku jolok korang.

Bila tangkainya menjadi lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-berpusing ke muka bumi. Gugurnya itu pula bukannya rendah, bukan setakat 5-10 kaki tapi sehingga 40-50 kaki. Bunyinya berdentum apabila sampai ke tanah. Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala korang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua bukan setakat ini sahaja. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita

Mula-mula sakit tusukan, lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat dan ini berterusan sehingga tinggal tempurung. Dah tinggal tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya, keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu nak menilai seni seperti ini.

Tempurung bulat yang cantik ditetak dengan parang dengan begitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih. Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sampai tahap ini maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Baru mukadimah. Banyak lagi seksaan yang menanti...

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih diparut dan dikukur pula hingga lumat. Tempurungnya pula dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi , dituang pula air ke dalam isi parut, kemudian diramas-ramas dan diperah-perah. Kalau hendak dikirakan ini sudah terkeluar daripada batas-batas keperimanusiaan. Kemudian ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu minyak dipanaskan di dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah lain ditumis. Bila dah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanaslah santan hingga pecah minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya: "Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”

Orang di dapur hanya menjawab,"Kari ikan bawal." Kari dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata,"Oh! sedap kari ni." "Oh! sedap ikan bawal ni."

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa yang bukan untuk dipuji dan dipuja. Jadilah kita seperti itu, seperti kelapa tua. Biarlah jasa kita tidak nampak di mata orang, tetapi ada dalam perhatian Allah!

Persoalannya, lihat kembali pada tajuk...


Comments (2)

hmm...panjang betul perjalanansebiji kelapa..mampu kah kita seikhlas kelapa...enth la..adakalanya kita ikhls..tiba2 dtg hastn syaitan...maka timbul la perasaan riak..sama ada ikhlas or tidak..hnya Allah sahaja yg dapat menentukan.. :)

p/s : tk semestinya kari n ikan jer yg dpt nama..mcm masal lemak cili padi, Pau Kelapa, kn ada nama kelapa tu.. :)

tp mmg tk dpt dinafikan..mmg jrg sngt nama kelapa or santn di sebut dlm sesuatu masakkan..walaupun santan merupakan bahan penting dlm masakkan tersebut :)

bagus kelapa tua neh...banyak kegunaan...tp semua org agak melupkn dan abaukn kelapa tua...cm tu gak dgn manusia..yg tua2 la byk ilmu n penglaman kn..huh