Perihal Burung Pipit

Posted by Fiq | Posted in , , | Posted on Thursday, November 26, 2009


Ketika musim kemarau baru sahaja mula, seekor burung pipit mulai merasakan tubuhnya kepanasan, lalu mengeluh kepada tempat tinggalnya yang dituduhnya sudah tidak mesra lagi. Dia lalu memutuskan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang khabarnya udara di sana selalu dingin dan sejuk.

Maka si burung pipit pun memulakan penerbangannya. Benar, lama-kelamaan dia merasakan kesejukan udara, makin ke utara makin sejuk, lalu menjadikanya semakin bersemangat memacu terbangnya lebih ke utara lagi.

Terbawa oleh nafsu, dia tak merasakan sayapnya yang mulai diselaputi salji, makin lama makin tebal, dan akhirnya dia jatuh ke tanah kerana tubuhnya diselaputi salji. Sampai ke tanah, salji yang menyelaputi sayapnya semakin bertambah tebal. Si burung pipit tak mampu berbuat apa-apa, menyangka bahawa riwayatnya telah tamat. Dia merintih menyesali nasibnya.

Mendengar suara rintihan si burung pipit, seekor kerbau yang kebetulan lalu datang menghampirinya. Namun si burung pipit kecewa mengapa yang datang hanya seekor kerbau. Dia mengherdik si kerbau agar menjauhi dirinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tak mungkin mampu berbuat sesuatu untuk menolongnya.

Si kerbau tidak banyak bicara, dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung tersebut. Si burung pipit semakin marah dan memaki-maki si kerbau. Si kerbau tetap tidak bersuara, dia maju satu langkah lagi, dan mengeluarkan najisnya ke atas tubuh si burung pipit. Si burung pipit tidak dapat bersuara kerana tertimbun oleh najis si kerbau. Si burung pipit kemudiannya menjadi pasrah dan berfikir bahawa dia pasti akan mati kerana tak dapat bernafas.

Namun perlahan-lahan, dia merasakan kehangatan mula meyeliputi dirinya. Salji yang membeku pada bulunya cair sedikit demi sedikit dek kerana hangatnya najis si kerbau. Akhirnya si burung pipit dapat bernafas dengan lega dan melihat kembali langit yang cerah. Si burung pipit berteriak kegirangan, bernyanyi sepuas-puasnya.

Mendengar ada suara burung bernyanyi, datang pula seekor anak kucing menghampiri si burung pipit, menghulurkan tangannya, mengais tubuh si burung pipit dan kemudian menimang-nimangnya, menjilati, mengelus dan membersihkan sisa-sisa salji yang masih melekat pada bulu si burung pipit tadi.

Setelah bulunya bersih, si burung pipit bernyanyi lagi dan menari kegirangan Dia berfikir bahawa dia telah mendapat teman yang ramah dan baik hati.

Namun apa yang terjadi kemudian ialah si burung pipit ditelan oleh si anak kucing tadi. Ketika itu dunia terasa gelap gelita bagi si burung pipit dan tamatlah riwayatnya di situ juga...

Manfaat cerita:

1. Persekitaran yang nampak "lebih hijau", belum tentu sesuai buat kita.

2. Baik dan buruknya penampilan, jangan dijadikan sebagai satu-satunya ukuran.

3. Apa yang pada mulanya terasa pahit dan tidak enak, kadang kadang boleh berbalik membawa hikmah yang menyenangkan, dan demikian pula sebaliknya.

4. Ketika kita baru sahaja mendapat kenikmatan, jangan lupa dan jangan terburu nafsu, agar tidak menyesal kelak.

5. Waspadalah terhadap orang yang memberikan janji yang berlebihan...

Comments (2)

banyak manfaat kita boleh dapat kan. contohnya, kita tak boleh memilih kawan. hehehe

Dianna ~ Err... pengajaran yang salah. Haha