Sesuatu Tentang Mandi

Posted by Fiq | Posted in , | Posted on Friday, September 18, 2009

Semua orang tahu apa tu mandi kan? Selain mandi ni amat mujarab untuk menghilangkan masalah bau badan, mandi sebenarnya memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan semua manusia. Setidak-tidaknya manusia pasti mandi sekali seumur hidup sama ada selepas baru dilahirkan atau sebelum dikebumikan. Malah mandi mempunyai cerita yang sangat menarik dari segi sejarahnya sehinggalah manfaat dalam perubatan.

Mandi secara takrifannya ialah merendam atau menyiram badan dengan suatu cecair atau larutan. Biasanya, bahan yang digunakan ialah air. Namun, ada juga sesetengah orang mandi menggunakan susu, lumpur, coklat, rempah ratus, dan sebagainya bergantung kepada tujuan tertentu. Antaranya sebabnya selain membersihkan badan, adalah untuk kecantikan, perubatan, keagamaan, kebudayaan, atau sekadar untuk rekreasi. Paling pelik antara jenis mandi ialah mandi cahaya matahari untuk menggelapkan ton kulit, cam orang yang berjemur kat tepi pantai tu la.

Mandi gak ada sejarahnya tersendiri. Tinggalan sejarah paling awal yang membuktikan manusia mandi berdasarkan runtuhan tab mandi kuno di Pakistan berusia 4500 tahun Sebelum Masihi. Sementara bangsa yang paling terkenal dengan budaya mandi ialah bangsa Rom. Penemuan sisa binaan rumah mandi awam memnjadi bukti kukuh bahawa amalan mandi diterima dalam tamadun mereka. Malah rumah mandi awam ni semakin mahsyur dalam kalangan masyarakat Eropah sekitar kurun ke-17 dan kurun ke-18.

Dalam budaya Barat, mandi pagi menjadi kelaziman masyarakatnya, iaitu sebelum memulakan aktiviti harian, lebi-lebih lagi jika mempunyai temu janji di luar rumah. Datang ke pejabat tanpa mandi bagi mereka suatu tabiat tidak profesional dan selekeh. Manakala bagi masyarakat di Asia Timur, mereka akan mandi 2 kali sehari, terutamanya pagi dan malam sebelum tidur. Lain pula bagi orang Asia Barat, mereka agak jarang mandi kerana cuaca Mediterranean yang tidak menyebabkan mereka banyak berpeluh. Masyarakat di kawasan kutub dan padang pasir tandus mungkin paling jarang mandi lantaran cuaca sejuk dan kekurangan sumber air.

Mandi banyak dikaitkan dengan kepercayaan tertentu terutamanya untuk perubatan. Dalam sejarah China, Jepun, India, Yunani dan Asia Barat banyak menceritakan perihal mandi sebagai satu kaedah penyembuhan. Contohnya pada zaman kegemilangan empayar Rom, tenteranya akan mandi menggunakan pancutan air panas semula jadi untuk merawat luka dan merehatkan tubuh selepas berperang. Begitu juga dengan masyarakat Asia, mereka akan berkunjung ke kawasan kawah gunung berapi yang mempunyai sumber mata air panas untuk mandi dan berendam kerana mempercayai mampu menyembuhkan penyakit kulit.

Orang Melayu pula sangat terkenal dengan mandi bunga. Lazimnya, mereka akan mencampurkan air dengan 7 jenis bunga pelbagai warna yang berbau wangi bersama-sama perahan limau di samping bacaan mantera tertentu. Amalan ini sudah menjadi adat turun temurun dan masih diamalkan sehingga sekarang oleh segelintir masyarakat. Mereka percaya ritual mandi bunga dapat mengusir anasir jahat seperti gangguan jin dan sial pada tubuh pengamalnya sekaligus mendatangkan tuah.

Ritual mandi juga sangat popular dalam kalangan penganut Hindu. Pada hari-hari tertentu seperti perayaan Deepavali, mereka akan mandi di Sungai Ganges atau mandi minyak di rumah bertujuan menghapuskan dosa lampau. Mungkin masyarakat moden hari ini menganggap amalan mandi sebagi ritual agama dan kepercayaan ini sebagai tahyul.

Walau bagaimanapun, sejajar dengan perkembangan zaman, mandi turut mendapat pandangan baharu. Hari ini, mandi banyak dikaitkan dengan amalan kesihatan dan kecantikan yang dibuktikan secara saintifik. SPA, hidroterapi, mandi wap, dan sauna adalah istilah moden yang semuanya berkaitan dengan mandi.

SPA yang berasal daripada bahasa Latin (Solus Per Aqua) bermaksud kesihatan melalui air. SPA dilakuan bagi mendapat ketenangan fizikal dan mental melalui perawatan air panas pada suhu tertentu yang juga dikenali sebagai hidroterapi.

Mandi wap juga adalah sebahagian daripada SPA dan hidroterapi. Sejak dahulu di sesetengah tempat, amalan mandi wap dilakukan dengan merebus daun-daun herba dalam periuk. Pesakit diletakan berhampiran dengan periuk dan diselungkupi dengan tikar atau selimut sehingga air dalam periuk kering dan tidak berwap. Pesakit akan berpeluh dan bagi mereka yang demam, biasanya akan sembuh.

Apakah sebabnya air boleh menjadi ejen rawatan yang sangat berkesan? Sebenarnya sifat air sangat unik kerana ia boleh wujud dalam 3 bentuk berbeza iaitu cecair, gas dan pepejal. Air juga bolenh menyimpan dan mengalirkan haba serta tenaga selain boleh melarutkan bahan lain sepertu garam galian. Dalam suhu blik, air tidak menyakitkan walaupun bagi seseorang yang amat sensitif pada perubahan persekitaran. Jadi ini membolehkan kit mandi walaupun beberapa kali sehari tanpa masalah.

Asas dalam hidroterapi juga amat bergantung kepada suhu air. Perubahan kepada suhu air memberi kesan rawatan yang berbeza kepada pengamalnya. Air sejuk berfungsi merangsang pengecutan salur darah yang hampir pada kulit sekali gus mengalirkan lebih banyak darah ke organ dalaman. Bagi mereka yang mengalami ketegangan, mandi air sejuk adalah ubatnya. Begitu juga bagi mereka yang mengalami kesukaran tidur, pendarahan hidung, selesema dan sembelit juga boleh dirawat dengan hanya merendamkan kaki ke dalam air dingin. Suhu yang disarankan ialah antara 12-18°C.

Manakala air suam sekitar suhu 32-35°C pula dipercayai dapat merehatkan otot. Mengembangkan salur darah selain daripada menyingkirkan toksin daripada tisu badan. Hasil kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England mendapati pesakit kencing manis yang menghabiskan masa berendam di dalam air suam selama 30 minit dapat mengurangkan kadar gula dalam darah sebanyak 13%. Kajian di Jepun pula mendapati hanya berendam di dalam air suam selama 10 minit dapat meningktkan kesihatan jantung terutamanya bagi kaum lelaki.

Terapi air yang dijalankan di kolam renang khas juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana ada pergerakan yang tidak boleh dilakukan di atas tanah boleh dilakukan dengan mudah di dalam air, terutamanya bagi pesakit yang cedera tulang belakang, strok dan arthritis..

Islam mempunyai satu keistimewaan perihal mandi kerana ia merupakan satu amalan yang diwajibkan atas sebab tertentu. Antaranya ialah kerana haid, bersalin, junub, dan meninggala dunia. Mandi ini tidak sama dengan mandi yang lain kerana kewajipannya perlu dilaksanakan mengikut panduan yang telah digariskan.

Walau bagaimanapun, ajaran mandi wajib ini sangat relevan dari segi perubatan kerana ia dipercayai dapat mencegah penyakit, terutamanya yang berkaitan dengan mandi junub selepas mengadakan hubungan kelamin. Bahkan banyak penyelidikan sains yang telah membuktikan hikmah mandi wajib dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, kita sudah tahu pentingnya mandi dalam kehidupan, maka “mandilah sebelum kita dimandikan.”

Comments (0)