Sabar
Posted by Fiq | Posted in Coret-Coret | Posted on Friday, August 07, 2009
Setiap perkara dalam dunia ini ada batasannya. Maknanya ianya mempunyai had yang tertentu. Dan had itu berbeza bagi setiap perkara yang dinyatakan. Begitu juga dengan kesabaran. Manusia biasa, seperti aku, yang mana imannya tidak begitu kuat pasti saja mempunyai had kesabaran yang rendah. Ya, aku mempunyai tahap kesabaran yang rendah. Namun aku cuba perbaiki kekurangan aku tu.
Bila sebut tentang sabar, aku begitu kagum dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW kerana baginda mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi. Sebelum peristiwa Israk Mikraj, baginda pernah pergi berdakwah di Taif. Namun apa yang baginda dapat hanyalah caci maki daripada penduduk Taif. Bukan itu sahaja, baginda turut dilontar batu sehingga darah menitik memenuhi sepatu yang dipakai baginda.
Walaupun begitu, baginda tetap bersabar dan mendoakan penduduk Taif diberi hidayah. Kalau aku, confirm aku doakan diorang semua tu diturunkan bala dan masuk ke neraka selama-lamanya. Tapi begitulah sifat baginda, manusia agung yang mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi.
Sabar juga ada pelbagai jenis. Saidina Ali pernah berkata bahawa sabar itu ada dua, iaitu sabar dalam menghadapi perkara yang kita tidak suka dan sabar dalam mengejar perkara yang kita suka. Memang benar. Dua benda tu memang memerlukan sabar.
Apa yang berlaku kalau tiada sabar? Mudah saja. Akan keluar la sumpah seranah, caci maki, carut marut dan macam-macam lagi perkara tidak elok daripada lidah. Bukan tu saja, sampai satu tahap berlaku tindakan fizikal yang boleh mendatangkan mudarat. Perkara yang seumpamanya pernah berlaku ke atas aku, dan sehinggalah hari ini aku masih rasa kesal dengan apa yang pernah aku lakukan.
Jadi wahai kawan, belajarlah menjadi seorang yang penyabar. Bila kita sabar, kita tak akan melakukan perkara yang berkemungkinan membawa penyesalan seumur hidup. Teguhkan iman, tetapkan pendirian, kuatkan azam untuk bersabar dalam semua perkara. Insyaalllah, pada akhirnya, kita juga yang mendapat keuntungan dan kebaikan daripada sifat mahmudah ini.
Wassalam
sbr;)