Sains Di Sebalik Kebetulan

Posted by Fiq | Posted in , | Posted on Tuesday, August 18, 2009

Sekiranya disemak semula kita akan dapati seperti terlalu banyak kebetulan kat dunia ni. Kadang-kadang kebetulan tu disusun oleh takdir sebegitu cermat sehingga sejarah menjadi seolah-olah seperti sebuah kisah yang teratur dengan ajaib. Antara kebetulan yang terkenal ialah kisah 2 orang Presiden Amerika, Abraham Lincoln dan John Kennedy.

Kisahnya adalah seperti berikut: Lincoln dilantik menjadi Presiden Amerika pada 1860, manakala Kennedy pula pada 1960. Kedua-dua nama Lincoln dan Kennedy mengandungi 7 huruf. Setiausaha Presiden Lincoln bernama Kennedy, manakala setiausaha Presiden Kennedy bernama Lincoln. Kedua-dua presiden ni mati dibunuh pada hari Jumaat. Lincoln dibunuh oleh John Wilkes Booth, yang lahir pada 1839, manakala Kennedy dibunuh oleh Lee Harvey Oswald, yang lahir pada 1939. Nama 2 orang pembunuh ni mengandungi 15 huruf.

Insiden kedua-dua pembunuhan presiden itu berlaku di hadapan isteri masig-masing, dan kedua-duanya ditembak di kepala dari arah belakang. Booth menembak Lincoln dari dewan teater lalu bersembunyi di dalam sebuah gudang, manakala Oswald menembak Kennedy dari sebuah gudang lalu bersembunyi di dalam sebuah dewan teater. Selepas kematian mereka, presiden baru dilantik di mana kedua-duanya mempunyai nama keluarga Johnson. Presiden Andrew Johnson yang menggantikan Lincoln lahir pada 1808, manakala Presiden Lyndon Johnson yang menggantikan Kennedy lahir pada 1908. Nama kedua-dua presiden baru tu mengandungi 13 huruf.

Kalau dilihat sekilas, kebetulan yang berlaku bertalu-talu dalam kisah Lincoln dan Kennedy seperti mustahil, kan? Tapi nak buat camne, sejarahnya dah memang begitu. Bagaimanakah sains dapat menerangkannya?

Sebenarnya kalau korang tengok dari sudut statistik, kebetulan memang sering berlaku dan tidaklah ganjil. Salah satu statistik tentang kebetulan yang sering dirujuk ialah “paradoks hari jadi” yang menyatakan: Walaupun dalam kalendar, setahun mempunyai 365 hari, tetapi dalam sebuah kumpulan yang mempunyai 22 orang, kebetulan untuk 2 orang ahli kumpulan mempunyai tarikh lahir yang sama adalah 50%. Kerana itulah kerap terdapat 2 orang berkongsi hari jadi di dalam sebuah bilik darjah yang kecil.

Selain itu kita sering mengatakan kebarangkalian untuk keajaiban terjadi kepada seseorang amat langka, mungkin satu dalam sejuta. Perumpamaan ni berlanjutan hingga ke rancangan realiti tv, mengatakan bahawa orang yang benar-benar berbakat sukar dicari dan merupakan “one in a million.”

Namun sekiranya dilihat statistiknya sekali lagi, dalam sebuah populasi seperti Malaysia yang mempunyai penduduk seramai 26 juta, kebarangkalian untuk ditimpa keajaiban “satu dalam sejuta” akan berlaku 26 kali! Betul tak?

Haa… Istilah sains yang selalu digunakan bagi memaknakan kebetulan ialah “synchronicity”. Istilah ini merujuk kepada kejadian yang berlaku secra kebetulan tanpa sebab-sebab yang berkait. Selalunya, kebetulan yang berlaku itu menerbitkan sesuatu yang bermakna.

Contoh kebetulan bermakna ialah sewaktu Isaac Newton duduk di bawah sepohon epal. Kebetulan yang berlaku ialah tepat jer waktu dia duduk, sebiji epal dari pohon itu jatuh tepat menimpa kepalanya, membuatkan Newton mendapat idea tentang graviti. Kellog yang tekenal mencipta bijiran sarapan pagi juga secara kebetulan terbiar bijirin jagung terbakar lebih lama daripada biasa, lalu menjadi emping.

Selain tu, kebetulan juga secara semula jadi menjadi dasar kognitif manusia. Salah satu cara manusia mempelajari perkataan adalah dengan mencari persamaan dan kebetulannya. Katakanlah kanak-kanak mahu mempelajari perkataan “anjing” dan jenisnya seperti Dalmatian, Labrador dan Poodle. Minda kanak-kanak akan mencari kebetulan antara jenis-jenis anjing tu iaitu badan berbulu, berkaki 4, boleh menyalak dan sebagainya, lalu mengumpulkan semuanya menjadi “anjing”.

Dalam bidang psikologi, kebetulan selalunya dikaitkan dengan kecenderungan minda kita mencari corak atau langgam dalam peristiwa harian. Fikiran manusia juga cenderung untuk mempercayai peristiwa yang mematuhi langgam itu, lalu enggan menerima peristiwa yang menyeleweng daripada coraknya; satu fitrah manusia dalam sains yang dipanggil confirmation bias.

Oleh itu kita sering mencari kebetulan pada sesuatu yang lazim. Kadang-kadang kebetulan itu tidaklah terlalu nyata, atau tidak wujud pun, hanya minda kita yang cuba mencari pola dan kaitan yang sebenarnya tiada. Lalu mengakibatkan, sekiranya disemak semula, kita akan dapati seperti terlalu banyak kebetulan di dalam dunia! Tapi yang pasti, artikel ni aku tulis atas kemahuan dan perancangan aku sendiri, bukan secara kebetulan. Hehehee…

Comments (0)